Selasa, 22 Disember 2009

Silat Cekak Hanafi @ Utusan

ARKIB : 21/12/2009

IPT digalak tambah jumlah kredit kokurikulum

BANGI 20 Dis. – Institusi pengajian tinggi tempatan digalak menambah jumlah kredit di dalam nilai gred mata (GPA) bagi aktiviti kokurikulum pelajar masing-masing.

Penasihat Khas Menteri Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Radwan Che Ros berkata, langkah itu dilihat mampu mendorong pelajar untuk melibatkan diri dengan aktiviti luar kuliah.

Malah kata beliau, kementerian yakin dengan cara ini, setiap pelajar mempunyai faktor nilai tambah untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang dan bukan setakat mempunyai kelulusan akademik semata-mata.

“Selain itu, ia memberikan keyakinan kepada mereka untuk menempuh alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian kelak,’’ katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merasmikan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Hanafi di German-Malaysian Institute (GMI) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden serta Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM), Md. Radzi Hanafi Al-Qadhi dan Pengarah Urusan GMI, Yusoff Md. Sahir.

Dalam perkembangan lain, Radwan berkata, kegiatan seni silat dapat membantu kerajaan melahirkan masyarakat yang seimbang daripada segi pembentukan fizikal dan kerohanian.

“Setiap individu yang menghayati silat dapat menyemai semangat jati diri kepada bangsa dan agama.

“Memandangkan dunia kian dipengaruhi arus globalisasi, peranan seni silat dalam mempertahankan identiti jati diri Melayu semakin penting,’’ katanya.

Malahan, beliau yakin silat boleh menjadi satu cara terbaik bagi mengatasi permasalahan sosial masyarakat hari ini seperti penyalahgunaan dadah dan budaya merempit.

Pada majlis tersebut, seramai 200 tenaga pengajar dari seluruh negara menerima tauliah masing-masing.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm