Ahad, 21 Mac 2010

Makan Malam BBQ Cawangan Johor

TASEK MERDEKA, 6 FEBRUARI 2010 : Merah dan meriah. Itulah yang dapat dikatakan bila rata-rata tetamu yang hadir pada "Makan Malam BBQ" menepati warna tema makan malam iaitu "Merah Hitam". Ramai yang memilih warna merah hingga memenuhi hampir semua ruang yang diperuntukkan oleh penganjur dimana seramai 181 dewasa dan 25 kanak-kanak telah hadir bagi memeriahkan "Makan Malam BBQ" tersebut.

Sungguh segak dan bergaya YDP Johor, En. Harith Abd. Hamid apabila mengenakan baju berwarna merah walaupun itulah pertama kali memakainya dikhalayak ramai bagi menyambut tetamu yang hadir pada malam tersebut.

Tujuan utama diadakan "Makan Malam BBQ" adalah untuk mengumpul dana bagi mengerakkan aktiviti persatuan dan bukannya makan yang diutamakan. Sungguhpun begitu, makanan yang terhidang cukup banyak dan pelbagai pilihan hingga ada yang tidak tahu hendak makan apa. Dari nasi arab, lauk-pauk, ulam-ulaman, acar dan rojak, kuih-muih, agar-agar dan puding, buah-buahan, sup kambing sehingga ke hidangan istimewa kambing 'kuzi' turut disajikan.

Para tetamu boleh makan apa sahaja tetapi dari apa yang dapat dilihat mereka yang turut serta adalah kerana semangat dan keinginan yang merah membara (warna tema makan malam) untuk membantu menjayakan pengumpulan dana Cekak Hanafi Johor. "Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua yang menjayakan majlis tersebut, sekiranya ada kekurangan dan kelemahan dimohon jutaan ampun dan maaf", itulah antara kata-kata En. Harith Abd Hamid semasa memberi ucapan. "Bercakap tentang semangat, kehadiran tetamu dari pasir Gudang, Batu Pahat, Muar dan Segamat cukup membanggakan malah mereka yang satu ketika pernah menyumbang bakti di Johor dan sekarang bekerja diluar Johor turut hadir bagi memeriahkan lagi suasana", tambahnya lagi. Turut disentuh semasa ucapan beliau adalah mengenai aktiviti yang akan dirancang serta Mesyuarat Agung Tahunan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Sebanyak 12 hadiah hamper disediakan kepada para tetamu, dengan cabutan bertuah kepada mereka yang bertuah pada malam tersebut, permainan untuk kanak-kanak, senda-gurau kepada suami isteri dan mereka yang menyambut hari lahir pada bulan Februari turut diraikan pada malam tersebut.

Peluang berkaraoke turut dibuka kepada tetamu dan sungguh ramai yang berbakat dalam nyanyian dan boleh diketengahkan untuk menyertai "Mentor". Dan seperti biasa YDP Johor En. Harith turut mendendangkan sebuah lagu dari Broery Marantika, sesuai dan kena dengan suara YDP yang ala-ala Broery Marantika. Begitu juga dengan mantan YDP Johor, En. Abdil Hakim Ahmadun turut menyanyikan sebuah lagu dan boleh dikatakan mereka ini cukup sporting. Kepada mereka yang bercita-cita menjadi YDP Johor ini nasihat yang boleh diberikan iaitu latih-latihlah menyanyi.

Majlis berakhir lebih kurang jam 11.30mlm dan dalam diam sungguh pantas masa berlalu hingga tidak sempat untuk mendengar orang lama menyanyi terutama dari En. Ariff Alias (Abang Ariff), suaranya yang lunak merdu menyanyikan lagu 'Abang Beca' amat dirindui bagi mereka yang pernah mendengar semasa abang Ariff menyanyikannya di "Hari Keluarga Cekak Hanafi" yang telah pernah diadakan pada masa lalu. Semoga pihak PSSCUHM Cawangan Johor dapat menganjurkan "Hari Keluarga Cekak Hanafi" pada masa-masa akan datang.



Sumber Dipetik Dari: www.silatcekakhanafijohor.org